Tuesday, January 6, 2009

Sisipan Akhbar.
Dari Utusan Malaysia .

Setinggan Skudai Kiri terbela

JOHOR BAHRU

5 Julai - Kerajaan tidak akan mengabaikan kepentingan penduduk setempat dalam melaksanakan Program Tanah Bersepakat di Skudai Kiri di sini, bagi mengatasi masalah setinggan di samping menjadikannya lebih moden sejajar dengan pembangunan Iskandar Malaysia.

Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, penduduk setinggan di kawasan berkenaan akan dipindahkan ke rumah murah Sungai Melana, manakala 88 keluarga yang mempunyai hak milik tanah seluas 12 hektar di kawasan yang akan dibangunkan, bakal menerima pampasan bersesuaian dengan harga pasaran.

Katanya, bagi penduduk setinggan, beliau yakin rundingan ini amat adil kerana mereka ditawarkan berpindah ke rumah murah bernilai kira-kira RM50,000 seunit dengan konsep sewa beli yang berpatutan.

"Bagi pemilik tanah di kawasan yang akan dibangunkan, penilai hartanah yang bertauliah akan menilai tanah di kawasan itu dan pampasan akan diberikan mengikut harga pasaran.

''Dalam mana-mana rundingan, kerajaan tak akan membelakangkan kepentingan rakyat," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Skudai Kiri terletak berhampiran dengan pusat rekreasi terkenal di Johor iaitu Teluk Danga.
Nur Jazlan bagaimanapun tidak dapat memberi jaminan sama ada tuntutan sesetengah pemilik tanah yang menuntut pampasan sebanyak RM150 sekaki persegi dapat ditunaikan.

Katanya, ini kerana nilai tanah di kawasan berdekatan Skudai Kiri hanya RM15 hingga RM20 sekaki persegi.
Nur Jazlan berkata, beliau juga ingin mendapatkan penjelasan lanjut daripada Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman mengenai desas-desus yang menyatakan projek rumah murah di Sungai Melana akan dibatalkan.

Beliau meminta agar isu penempatan penduduk setinggan diselesaikan terlebih dahulu sebelum sebarang projek pembangunan dijalankan di Skudai Kiri.

Dalam pada itu, Ketua Kampung Skudai Kiri, Mohd. Ibrahim, 65, berharap agar pembangunan di kawasan berkenaan tidak meminggirkan orang Melayu di situ.

"Walaupun banyak pelaburan akan masuk, namun harapan saya supaya hak orang Melayu terpelihara dan tidak terpinggir daripada pembangunan.
"Kami yakin kerajaan akan memikirkan nasib penduduk dan tidak hanya mengutamakan keuntungan," katanya.
Pada ucapan penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah Sultan Johor pada hari terakhir sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor semalam, Abdul Ghani berkata, penyusunan semula kawasan tersebut akan dilakukan oleh Jabatan Perancang Bandar serta Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) di samping kerjasama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).

Berdasarkan perangkaan katanya, Skudai Kiri menempatkan seramai 784 penduduk membabitkan 88 keluarga memiliki hak milik tanah, 686 setinggan, manakala 10 keluarga lagi berstatus lesen menduduki sementara (TOL).

No comments: