Projek RM50 juta atasi banjir kilat di Plentong
PASIR GUDANG: Masalah banjir kilat yang kerap melanda Kampung Baru Plentong dan kawasan sekitarnya di sini, dijangka dapat diatasi apabila kerajaan meluluskan peruntukan untuk projek membuang kelodak dan mendalamkan muara Sungai Tebrau dan Plentong.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata projek itu kini dalam peringkat akhir selepas semua kajian sudah dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi memastikan kedua-dua sungai berkenaan mampu menampung aliran air hujan dalam jumlah yang banyak.
Katanya, beliau difahamkan, projek yang dijangka menelan belanja lebih RM50 juta itu hanya menunggu kelulusan peruntukan Kementerian Kewangan selepas Kabinet bersetuju untuk melaksanakannya.
“Projek ini, amat penting kepada penduduk kawasan ini, dan juga Pasir Gudang secara keseluruhan. Banjir besar yang berlaku pada 2006 dan 2007 jelas membawa banyak kerosakan kepada penduduk.
“Antara sebab utama, adalah kegagalan sungai untuk menampung aliran air hujan dan jika projek ini, tidak dilaksanakan dengan segera, penduduk sekitar akan terus terdedah dengan bencana alam ini,” katanya di sini, kelmarin.
Beliau berkata demikian selepas ditemui pada majlis taklimat projek berkenaan dan sesi dialog bersama penduduk kampung terbabit.
Mohamed Khaled berkata, selain membabitkan kerja mendalam dan membuang kelodak kedua-dua sungai berkenaan yang akan diselia JPS negeri, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) juga terbabit bersama berikutan kedudukan jambatan landasan kereta api yang merentangi sungai berkenaan.
Sumber: Berita Harian, 5 Januari 2009
Tuesday, January 6, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment