Friday, January 30, 2009


LAPORAN DAN MINIT MESYUARAT BIRO PERBANDARAN
UMNO BAHAGIAN PASIR GUDANG 2009
BERSAMA KETUA, PEGAWAI CAWANGAN MASAI, MASAI BARU
DAN KG BARU MASAI


Tarikh : 11.01.2009 (Ahad )
Tempat : Bilik Gerakan UMNO Caw Kg Baru Masai.
Masa : 8.00 malam

Kehadiran :

Tn Hj Abdullah Bin Abd Rahman – Pengerusi
Tn Hj Abd Ghani Bin Abd Rahman - Timbalan Peng.
En Nordin Bin Ali – AJK
En Mohamed Noh Bin Jaafar - AJK
En Sabri Bin Abd Rahman - AJK
En Salleh Bin Kamisan - AJK
Pn Sainah @ Tina Bte Mohamad – AJK
Pn Hjh Habibah Bte Zainal Abidin - AJK

Wakil Cawangan Masai :

Tn Hj Salim Bin Juahir - Ketua Cawangan
Tukimin Bin Mijo – AJK
Alias Bin Amat - AJK

Wakil Cawangan Masai Baru : -

Tn Hj Abu Bakar Bin Mohamad - Tim. Ketua Cawangan
Pn Hjh Aminah - Naib Ketua Wanita
Pn Aminah Bte Mohamad - Setiausaha Wanita Caw

Wakil Cawangan Kg Baru Masai : -

En Zulkiflee Bin Abd Jalil - Ketua Cawangan
En Ramlan Bin Musa - Ketua Pemuda
Pn Normah Bte Ahmad - Naib Ketua Wanita
En Mohd Hatta - Bendahari Cawangan
Pn Faizah Bte Abd Jalil - Setiausaha Wanita Caw
Pn Jawariah Bte Nohong - AJK

AGENDA : FUNGSI DAN PERANAN BIRO PERBANDARAN SERTA PERMASALAHAN

UCAPAN PENGERUSI BIRO

  • Ucapan terima kasih kepada semua yang hadir.
  • Menjelaskan peranan Biro Perbandaran yang mencakupi Biro Setinggan dan Ahli Majlis. Biro yang menjadi nadi penggerak kepada masalah setinggan yang sekian lama belum menemui jalan penyelesaian kerana sebagai penyokong kuat dan setia UMNO amatlah mustahil jika masalah ini tidak dapat diselesaikan. Beliau tidak mahu apa yang berlaku kepada Kg Baru Plentong Tengah walaupun statusnya berbeza, tidak akan berulang kepada tempat-tempat lain.
  • Beliau akan cuba sedaya upaya untuk membawa isu ini pada setiap bulan dan mengutarakan kepada pemimpin atasan tidak kira bagaimana penerimaan pemimpin-pemimpin tersebut.
    Tidak mahu kerana isu ini akan memberi kesan kepada orang Melayu yang kecewa dengan kepimpinan UMNO.
  • Menyeru kepada ketua-ketua cawangan, jangan ambil mudah setiap permasalahan harus melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan dan peka kepada setiap masalah cawangan.
    Biro Perbandaran akan turun cawangan pada setiap minggu dan fokus diberi kepada masalah setinggan dahulu. Pengerusi telah memaklumkan kepada YB Dato' Ketua Bahagian tentang program turun padang setiap minggu dan berharap biro ini dapat memberi satu solusi yang terbaik.
  • Mahu semua ajk Biro Perbandaran bukan saja tetap setia pada parti tetapi berani untuk memperjuangkan hak-hak orang Melayu mengikut landasan yang betul.
    Setiap permasalahan akan dibawa ke mesyuarat bahagian

    Ketua UMNO Caw Kg Baru Masai ( En Zulkiflee Bin Abd Jalil)
  • Ucapan terima kasih atas kesudian Biro Perbandaran kerana sudi datang ke Bilik Gerakan Kg Baru Masai bagi mengadakan perjumpaan 3 cawangan untuk mendapat input atau maklumat-maklumat terkini dari cawangan-cawangan yang terlibat terutamanya isu tanah.
  • Status tanah Kg Baru Masai setakat ini beliau memberitahu beliau hanya mendengar cerita, tiada hitam putih dan sudah pun mengutarakan borang-borang permohonan samada pemohon-pemohon baru atau pemohon yang sudah tamat tempoh. Beliau juga ada membuat pertemuan dengan Tn Hj Baha bersama Biro Pendidikan dan respon dari pejabat tanah mengatakan dalam proses dan mengambil sedikit masa untuk memberi pengesahan
  • Tanah Kompleks Penghulu seluas 9 ekar, borang telah dikeluarkan oleh pihak YPJ untuk menggunakan tanah tersebut bagi tujuan komersial tetapi hasrat mereka menghadapi sedikit halangan kerana terdapatnya kawasan sensitif iaitu Sekolah Tadika dan PusatGiat Mara. Beliau telah menghantar surat kepada YB Dato' Seri memohon agar pihak Kerajaan mengkaji semula penganugerahan tanah di pindah projek ke satu tapak baru dan dalam masa yang sama Sekolah Tadika dikekalkan di situ. Apa yang berlaku ini sudah pasti akan mempengaruhi kepimpinan pada masa akan datang.
  • Tn Hj Baha sudah bermesyuarat dengan YPJ dan pada dasarnya pihak YPJ bersetuju memindahkan projek tersebut dan Sekolah Tadika kekal disitu dengan syarat penduduk keluar dulu dan masuk semula. Beliau mahu apa yang dipersetujui oleh YPJ diterjemahkan hitam putihnya dan diendorse oleh peguam. Beliau takut jika persetujuan ini hanya di bibir saja dan Tn Hj Baha juga telah berjanji dengan beliau untuk menyelesaikan masalah ini. Penduduk Caw Kg Baru Masai sebenarnya merasa kecewa kerana projek projek yang dirancang tidak dimaklumkan kepada mereka kerana jika dimaklumkan sekurang-kurangnya penduduk juga boleh memberi pandangan dan pendapat.
  • Beliau juga memberitahu bahawa penduduk Kg Baru Masai sebenarnya telah teraniaya kerana projek sebenarnya adalah projek membangunkan Kg Sepakat. Pemaju tidak akan bangunkan kerana kos bajak tanah yang tidak mendatangkan keuntungan. Kerajaan juga secara diam-diam telah memberi penganugerahan kepada projek lain. Jika dibangun kan bagi tujuan pembinaan hospital atau sekolah-sekolah penduduk tidak merasa kecewa juga tetapi projek yang akan dibuat ialah pembinaan apartmen mewah yang pastinya majoriti pembelinya bukan Melayu.
  • Beliau berharap dan berdoa agar pembangunan ini dabatalkan kerana tidak wajar orang Melayu diusir kerana kawasan tersebut berhampiran dengan kawasan yang boleh menjana ekonomi orang Melayu.

    En Zulkifli juga berharap kepada Biro Perbandaran agar : -
  • Menyokong seratus peratus hasrat cawangan dan ahli-ahli UMNO.
  • Tidak rasa keberatan perjumpaan sebulan atau 2 bulan sekali bagi mendapat maklum balas dari pihak Bahagian untuk mengetahui kedudukan dan status mereka dan berharap perkara ini tidak didiamkan tetapi tiba-tiba penduduk mendapat surat disuruh berpindah.
  • Beliau juga berharap apa yang berlaku di Perak tidak akan berlaku di Johor di mana secara terang-terangan hak keistimewaan orang Melayu dihapuskan.

    Ketua UMNO Caw Masai ( Tn Hj Salim Bin Juahir)
  • Memberitahu senarai kawasan-kawasan yang ada geran dan yang tidak ada.
  • Berharap permohonan yang telah diberi kepada pihak Bahagian sentiasa beri maklumat pada cawangan-cawangan.
  • Tidak mahu apa yang berlaku kepada Kg Baru Plentong Tengah berlaku pada penduduk Kg Baru Masai dan Kg Sepakat.
  • Masalah infrastruktur di Kg Desa Bakti, tidak mempunyai bekalan api dan masalah jalan.
  • YB MM Samy memberitahu tahun ini akan dibangunkan.

    Timbalan Ketua UMNO Caw Masai Baru ( Tn Hj Abu Bakar Bin Mohamed)
  • Isu setinggan sama seperti yang diutarakan oleh kedua-dua ketua cawangan.
  • Memohon pemasangan lampu jalan di Jalan Punai dan Jalan Selasih
  • Timbalan Pengerusi Biro Perbandaran (Tn Hj Abd Ghani Abd Rahman)
  • Mudah-mudahan apa yang dirancang akan dimakbul tuhan.
  • Beliau berharap semua ajk dan ketua-ketua cawangan menggandakan usaha tanpa perlu rasa takut untuk mengutarakan masalah mereka.
  • Jika semua mempunyai niat untuk menolong dengan sungguh-sungguh insyallah apa yang mereka harapkan akan menjadi kenyataan.
  • Menyokong penuh kepada Pengerusi dan AJK diatas apa saja masalah dan perancangan yang hendak dilaksanakan.
  • Beliau juga menegaskan andai apa yang mereka perjuangkan ini tidak ada pembelaan,beliau tidak teragak-agak untuk mengundur diri kerana beliau tidak mahu melalui keadaan yang sama di mana janji sudah mendapat kelulusan tetapi sebenarnya tiada.

    Ketua UMNO Caw Kg Baru Masai ( En Zulkiflee Bin Abd Jalil)
  • Beliau telah dimaklum oleh Pengerusi Biro bahawa di Masai ada 2 Ahli Majlis. En Zul mencadangkan agar ditambah seorang lagi Ahli Majlis dari UMNO dan dapat mengadakan pejabat perkhidmatan atau khidmat nasihat.

En Mohd Noh Bin Jaafar (AJK Biro/Timbalan Ketua UMNO Caw Gunung S.Alam)

  • Ucapan terima kasih diatas jemputan ke mesyuarat. Setelah menjadi AJK Biro ini beliau baru menyedari bahawa banyak perkara yang memerlukan pembelaan dan harap dapat sama-sama membantu.
  • Terima kasih juga kerana diberi peluang sebagai AJK Biro Perbandaran.

    En Nordin Bin Kasri - AJK Biro/ Ketua UMNO Cawangan Sri Makmur
  • Isu yang hangat dibincangkan pada mesyuarat hari itu sama seperti apa yang dihadapi oleh cawangan beliau.
  • Ucapan terima kasih kepada Pengerusi dan Timbalan kerana dapat memperjuangkan isu-isu yang berbangkit selama ini- Akan sama-sama memberi sepenuh komitmen selaku AJK Biro.

    En Mohd Salleh Bin Kamisan - AJK Biro/ Setiausaha UMNO Caw. Kg Belantik
  • Berharap segala usaha sungguh-sungguh yang dibuat oleh Biro Perbandaran akan beroleh kejayaan yang menggembirakan semua yang terlibat.

    En Nordin Bin Ali - AJK Biro
  • Menyeru semua AJK Biro perlu bekerja keras dan segala permasalahan perlu diambil tindakan dan statusnya diberitahu kepada cawangan dari masa ke semasa

Pn Sainah @ Tina Bte Mohamad - AJK Biro

  • Memberitahu bahawa beliau telah mengutarakan kepada YB Dato' Ketua UMNO Bhg pada sesi perjumpaan YB Dato' Seri bersama-sama Ketua Sayap-Sayap UMNO Bahagian pada 3 Januari 2009 yang lepas di pejabat UMNO Bahagian berkaitan isu tanah ini.
  • Beliau memberitahu YB Dato' Seri tentang isu setinggan yang mengambil masa begitu lama untuk mendapat satu solusi dan senario ini telah menyebabkan penduduk marah dan kecewa pada pemimpin seterusnya menimbulkan kebencian pada parti. Beliau juga memberitahu YB Dato' Seri situasi ini akan memberi kesan yang tidak baik kerana penduduk ada mengatakan jika masalah ini tidak dapat diselesaikan sehingga 2011,pilihanraya akan datang pasti akan memberi satu impak yang menakutkan.
  • Pn Tina juga menjelaskan YB Dato' Seri memberitahu pihak Kerajaan masih mencari formula bagaimana untuk menyelesaikan isu tersebut.

    Ulasan Pengerusi Biro - Tn Hj Abdullah Bin Abd Rahman
  • Pihak Biro akan memasukkan semua suara hati rakyat walaupun berupa kritikan kepada pemimpin dengan harapan agar pemimpin dapat menyelesaikan masalah yang diutarakan.
  • Mahu semua AJK Biro berani mengemukakan semua masalah agar dapat diselesaikan dengan cara yang terbaik.
  • Beliau juga berharap agar ada sesuatu yang positif diatas masalah setinggan ini kerana jika kita semua benar-benar jujur dalam memperjuangkan apa jua masalah yang melibatkan hak keistimewaan orang-orang Melayu tanpa prejudis pasti akan dipermudah kan oleh Allah.

    Mesyuarat ditangguhkan pada jam 10.40 malam.

    Disediakan Oleh : -
    SHEIKH AYUB BIN SHEIKH ABDUL RAHIM
    Setiausaha Biro Perbandaran UMNO Bahagian Pasir Gudang

    Disahkan Oleh :
    TN HJ ABDULLAH BIN ABD RAHMAN
    PengerusiBiro Perbandaran UMNO Bahagian Pasir Gudang

Thursday, January 8, 2009

JIKA SAYA YDP PBT

Kita sering mendengar aduan daripada orang ramai (baca –pelanggan) berhubung prestasi dan kerenah yang dihadapi oleh mereka apabila berurusan dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tertentu.

PBT sebenarnya merupakan barisan paling terkehadapan kepada pentadbiran kerajaan, selain Pejabat Tanah dan Daerah (PTD).

Orang ramai di pelbagai peringkat beranggapan berurusan dengan kedua-dua institusi ini seolah-olah mereka sedang berurusan dengan kerajaan. Baik ataupun buruknya perkhidmatan yang diberikan, akan mencerminkan prestasi semasa kerajaan.

Pelanggan akan tersenyum puas apabila perkhidmatan yang diberi dapat dilakukan dengan pantas, cekap dan tepat. Walau bagaimanapun tidak kurang juga yang merasa hampa, apabila perkhidmatan yang diberikan lambat, tidak cekap dan tidak telus.

Mereka akan merasa kecewa apabila urusan yang sepatutnya dapat diselesaikan dalam 10 minit, perlu diselesaikan dalam tempoh 1 jam dan lebih malang lagi sehingga ke 24 jam. Oleh yang demikian, kedua-dua institusi ini perlulah lebih berupaya memberikan perkhidmatan yang cepat, cekap dan berintegriti kepada rakyat dan sektor awam.

Menerusi ruangan ini, penulis ingin menyentuh peranan yang boleh dilaksanakan oleh seorang Yang Dipertua (YDP) kepada sesebuah PBT. Sebagai seorang pelanggan kepada PBT di kawasan perbandaran, penulis ingin berkongsi pandangan dan pendapat terhadap perkara-perkara yang akan di lakukan, sekiranya penulis dipertanggungjawabkan sebagai YDP kepada sebuah PBT.

Fokus dan Tumpuan Tugas Prinsip yang akan digunakan sebagai fokus dan tumpuan tugas adalah ringkas tetapi komited terhadap apa yang digariskan iaitu:
  1. Rancang
  2. Laksanakan
  3. Menguatkuasakan.

Perkara-perkara yang akan saya lakukan dalam merancang fokus dan tumpuan kerja saya meliputi perkara-perkara seperti berikut:
  1. Melakukan penilaian terhadap keadaan/persekitaran semasa
  2. Mengenal pasti kelemahan, kekurangan dan ketidakcekapan sistem atau amalan sedia ada
  3. Mendapatkan pandangan/ idea/ cadangan yang boleh diguna pakai dalam mengatasi kelemahan/kekurangan yang dikenal pasti, dan
  4. Merangka tindakan dan langkah-langkah yang akan diguna pakai bagi mengatasi kelemahan dan ketidakcekapan sistem sedia ada.
Aspek pelaksanaan pula akan meliputi perkara-perkara berikut:
  1. Memastikan semua tindakan dan langkah-langkah yang telah dirancang, dilaksanakan
  2. Mendapatkan pandangan dan maklum balas stakeholders terutama orang ramai dan pihak-pihak yang berkepentingan , dan
  3. Menilai semula tindakan dan langkah-langkah yang telah dijalankan di samping melakukan penambahbaikan.
Aspek penguatkuasaan merupakan elemen terpenting dalam menentukan kejayaan dan keberkesanan sesuatu gerak kerja atau tindakan yang digariskan.

Ini dapat dilakukan dengan:
  1. Menguatkuasakan sepenuhnya peraturan yang ditetapkan mengikut perkara-perkara yang telah dirancang sewajarnya, dan
  2. Memberikan ganjaran di atas pematuhan kepada peraturan yang ditetapkan dan mengenakan hukuman di atas pelanggarannya.
Mengukuhkan Tanggungjawab Asas - Tanggungjawab asas semua PBT di negara ini adalah sama. Orang ramai telah sinonim dengan bidang tugas PBT ini yang popular dengan singkatan 'SLR' iaitu sampah, longkang dan rumput.

Kesinoniman ini ada kalanya ditambah kepada 'JLL' iaitu jalan, lampu jalan dan lampu isyarat. Namun demikian, sebenarnya terdapat hampir 16 penyelenggaraan awam yang terletak di bawah tanggungjawab PBT iaitu:
  1. penyelenggaraan jalan raya
  2. penyelenggaraan lampu jalan
  3. penyelenggaraan lampu isyarat
  4. penyelenggaraan stesen dan perhentian bas
  5. penyelenggaraan stesen dan perhentian teksi
  6. penyelenggaraan jejantas
  7. penyelenggaraan tempat letak kereta awam
  8. penyelenggaraan medan makan
  9. penyelenggaraan pasar awam
  10. penyelenggaraan pasar malam
  11. penyelenggaraan tandas awam
  12. penyelenggaraan taman rekreasi
  13. penyelenggaraan dewan orang ramai
  14. penyelenggaraan kompleks sukan awam
  15. penyelenggaraan papan tanda, dan
  16. penyelenggaraan billboard awam.

Namun demikian, saya kuat beranggapan bahawa sekiranya PBT dapat memastikan penyelenggaraan 'SLRJLL' dapat dilaksanakan dengan baik menerusi komitmen yang tinggi (100 peratus), sebahagian besar imej PBT tersebut dapat ditingkatkan.

Saya berpandangan sedemikian kerana kebanyakan rungutan dan aduan terhadap kelemahan PBT diwarnai oleh isu penyelenggaraan kemudahan awam, kebersihan, lesen perniagaan, kelulusan pelan bangunan dan CCC.

Komited terhadap Tugas PenyelenggaraanSebagai tumpuan bagi tugas-tugas penyelenggaraan ini, perkara berikut akan saya lakukan, ialah:

  • memastikan jadual penyelenggaraan diberitahu secara rasmi kepada orang ramai melalui surat dan pemasangan papan kenyataan di tempat-tempat strategik seperti jadual pengutipan sampah
  • penyelenggaraan turut dilakukan termasuk pada cuti umum, jika perlu
  • memastikan PBT saya atau syarikat konsesi yang dipertanggungjawabkan melaksanakan tugas penyelenggaraan dan pembersihan secara tetap dan mengikut jadual
  • membentuk unit khas di bawah PBT untuk mengendalikan serta-merta kerja-kerja awalan pembaikan dan pemulihan dari segi kebersihan dan penyelenggaraan, apabila aduan diterima , dan
  • jika syarikat konsesi seperti syarikat kutipan sampah atau syarikat yang diberikan kontrak pembersihan longkang gagal melaksanakan tugasnya, saya akan mendapatkan khidmat kontraktor lain atau melaksanakan sendiri kutipan sampah atau pembersihan longkang tersebut, dan kos ditolak secara automatik daripada pembayaran syarikat tersebut.

Penggunaan ICT Secara MaksimumSatu perkara yang akan menjadi tumpuan saya ialah memastikan semua perkhidmatan yang disediakan di PBT mengguna pakai kemudahan-kemudahan teknologi ICT terkini bagi memudahkan urusan para pelanggan. Ini meliputi pelbagai perkhidmatan seperti berikut:
  • pelaksanaan sistem pembayaran melalui talian (online payment) untuk pelbagai transaksi perkhidmatan
  • pengeluaran peringatan pembaharuan semua jenis lesen
  • pelaksanaan sistem e-complaint
  • penggunaan secara menyeluruh sistem tekonologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam urusan komunikasi seperti e-mel dan pengaksesan makluman seperti laman web, dan
  • penglibatan dan perkongsian maklumat dengan orang ramai mengenai semua perancangan dan pelaksanaan yang dilakukan supaya pelanggan maklum mengenainya.
  • Pemantauan MenyeluruhPemantauan merupakan elemen utama dalam menentukan sesuatu tugas tersebut dilaksanakan dengan cekap dan berkesan.

Oleh yang demikan, sebagai YDP saya akan memastikan - pegawai-pegawai PBT dan Ahli Majlis yang ditugaskan sebagai Pegawai Khas (Area Officer) hendaklah melaksanakan peranan mereka dengan lebih berkesan;

  • pegawai PBT yang ditugaskan untuk memantau kebersihan dan penyelenggaraan hendaklah bermotosikal untuk meronda di kawasan jagaan masing-masing.
  • Rondaan ini perlu dilakukan sekurang- kurangnya seminggu sekali bagi setiap kawasan. Laporan hendaklah dikemukakan terus kepada saya sebagai YDP PBT untuk tindakan ,dan
  • pegawai penguat kuasa PBT yang membuat rondaan penguatkuasaan, perlu juga melaporkan tentang keadaan kebersihan dan kemudahan awam di kawasan rondaannya, pada setiap hari.
  • Penguatkuasaan SepenuhnyaDalam melahirkan budaya kerja yang cekap dan teratur, saya akan memastikan aspek penguatkuasaan sentiasa dititikberatkan pada sepanjang masa. Antara perkara yang akan saya lakukan dalam menguatkuasakan peraturan di bawah PBT ini ialah:
  1. memastikan saya mendapat mandat yang sepenuhnya untuk menjalankan penguatkuasaan tanpa dihalang atau diganggu oleh mana-mana pihak
  2. memastikan premis kediaman yang didapati kotor atau menyebabkan longkang tersumbat dikenakan denda, manakala premis perniagaan tidak dibenarkan berniaga untuk satu tempoh tertentu
  3. menyebar maklumat pembayar yang belum membayar cukai iaitu setelah tertunggak dalam beberapa tahun (misalnya dalam tempoh tiga tahun) atau berdasarkan amaun tunggakan dan disiarkan di dalam laman web PBT serta surat khabar
  4. merobohkan bangunan kediaman tambahan yang dibangunkan tanpa permohonan atau kelulusan PBT atau yang melanggar peraturan, bagi menjamin keharmonian serta kesejahteraan kehidupan penduduk dan semangat kejiranan setempat.
Gaya KepimpinanDalam pada itu, ke arah memastikan aspek kebersihan dan penyelenggaraan secara lebih berkesan, saya dan Setiausaha PBT akan mengamalkan gaya "pengurusan turun padang" atau Management By Walking About (MBWA) sekurang-kurangnya tiga hari dalam sebulan.

Ini akan membolehkan tinjauan dengan lebih dekat dapat dilakukan terhadap masalah yang berlaku di akar umbi. Segala penemuan akan direkodkan di dalam buku log yang disediakan untuk tindakan penyelesaian sewajarnya.

Harapan Seorang YDP PBT Saya percaya orang ramai sentiasa mengimpikan kawasan kediaman dan perbandaran mereka sentiasa bersih dan cantik menerusi sistem penyelenggaraan yang cekap dan efisien.

Perkara-perkara yang telah saya nyatakan akan saya lakukan sekiranya saya seorang YDP sebuah PBT, sebahagian besarnya merupakan amalan terbaik yang telah dilaksanakan di sebahagian kecil PBT yang dianggap cemerlang.

Oleh yang demikian, saya pasti sekiranya semua YDP PBT di seluruh Pasir Gudang dapat menghayati prinsip kerja ini, saya yakin kawasan kediaman dan bandaran di bawah seliaan mereka akan sentiasa bersih dan cantik, di samping meningkatkan keharmonian serta kesejahteraan hidup penduduk setempat.


Wednesday, January 7, 2009

Latar Belakang dan Sejarah Pasir Gudang.

Suatu ketika dahulu, Pasir Gudang hanyalah sebuah perkampungan nelayan. Pada tahun 1918 kawasan Pasir Gudang (dahulu disebut Kampung Pasir Udang) telah diterokai oleh seorang yang bernama Long Abu yang dipercayai berasal dari Riau, Indonesia.

Apabila penduduk Kampung Pasir Udang semakin bertambah, kampung-kampung berikut telah didirikan:-

1. Kampung Ulu (kini limbungan baik pulih MSE)
2. Kampung Tengah (kini kawasan Tenaga Nasional Berhad)
3. Kampung Hilir
4. Kampung Sungai Perembi. Balai Polis Pasir Gudang terletak di sini.

Penduduk kampung-kampung ini terdiri dari bangsa Melayu dan sedikit Cina, kesemuanya berjumlah 83 keluarga. Mereka bekerja sebagai nelayan, petani dan buruh ladang.

Pada tahun 1920, empat buah lagi kampung telah dibuka iaitu:-

1. Kampung Air Biru (kini menjadi tapak pelabuhan).
2. Kampung Pasir Merah (kini menjadi tapak pelabuhan).
3. Kampung Pasir Puteh, masih kekal sehingga sekarang.
4. Kampung Pulau Tekong, menjadi wilayah Singapura.

Secara tidak langsung nama Pasir Udang mengalami perubahan menjadi Kampung Pasir Gudang oleh kerana di Kampung Ulu terdapat lombong pasir untuk dieksport ke Singapura. Pasir-pasir yang telah dikumpul akan dilonggokkan dengan banyaknya di suatu tempat.

Dipercayai bersempenakan keadaan tersebut maka timbulnya nama Pasir Gudang.Pada pertengahan abad ke 19, peneroka berbangsa Cina dari suku Teochew telah meneroka lebih jauh ke daratan melalui jalan sungai yang dipenuhi kayu bakau untuk peladang.

Kegiatan mereka akhirnya diperakukan melalui 'surat sungai' yang dikeluarkan oleh Sultan Johor yang membenarkan mereka membangunkan kawasan Kangkar Masai, Kangkar Plentong dan Kangkar Lunchu di bawah ketua-ketua sungai yang dipanggil Kangchu.

Di tebing-tebing sungai inilah mereka mengusahakan tanaman gambir dan lada hitam.'Penghulu' merupakan wakil raja yang mengutip cukai untuk barangan yang dibawa keluar dan masuk melalui jalan air. Apabila harga gambir dan lada hitam telah merosot, beberapa pemilik ladang telah cuba mengusahakan tanaman nanas.

Pada awal abad ke 20, tanaman getah mula mendapat perhatian. Pengenalan getah di Malaysia menyebabkan pengusaha-pengusaha British dan Singapura membuka estet-estet yang besar. Sehingga 1916, enam buah estet yang meliputi kawasan seluas 15,000 ekar telah dibuka di Mukim Plentong.

Kampung Pasir Gudang telah menjadi pusat polis, kastam dan pengawal candu (opium) di samping sebagai pusat bagi penghulu Mukim Pasir Gudang iaitu satu jawatan baru yang diwujudkan pada tahun 1916. Penubuhan estet-estet juga telah menyebabkan meningkatnya kemasukan pengaruh British dalam sistem perundangan dan pentadbiran negeri Johor.

Mereka juga membawa buruh dari Cina dan India untuk bekerja di estet-estet.Pendudukan Jepun ketika Perang Dunia Kedua dan pergerakan gerila selepas perang di kawasan ini tidak memberi kesan besar kepada kegiatan perladangan. Di bawah Undang-undang Darurat pada tahun 1950an, kampung-kampung baru telah diwujudkan di Plentong, Masai dan Pasir Gudang.

Buruh-buruh estet telah ditempatkan samada di kampung-kampung baru ini ataupun di berek-berek estet yang dikawal.Walau bagaimanapun, perniagaan kecil dan aktiviti di perkampungan nelayan telah terjejas dengan teruknya akibat darurat. Semakin ramai bilangan penduduk kampung telah beralih berkerja di estet-estet.

Selepas merdeka pula dalam tahun 1950an, Kerajaan telah cuba membebaskan penduduk Melayu yang tidak bertanah daripada belenggu kemiskinan melalui penubuhan skim-skim tanah seperti di Ban Foo, Plentong Baru dan Felda Cahaya Baru.Kerajaan Negeri seterusnya telah mengambil tanah-tanah estet untuk dijadikan kawasan perindustrian dan perumahan.

Peristiwa ini selanjutnya menjadi latar belakang kepada pembangunan kawasan perindustrian Pasir Gudang. Pembangunan ini sangat penting kepada negeri Johor, terutamanya kerana ia melibatkan penubuhan Pelabuhan Johor yang menjadi alternatif kepada pelabuhan yang terdapat di Singapura.

Tuesday, January 6, 2009

Projek RM50 juta atasi banjir kilat di Plentong

PASIR GUDANG: Masalah banjir kilat yang kerap melanda Kampung Baru Plentong dan kawasan sekitarnya di sini, dijangka dapat diatasi apabila kerajaan meluluskan peruntukan untuk projek membuang kelodak dan mendalamkan muara Sungai Tebrau dan Plentong.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata projek itu kini dalam peringkat akhir selepas semua kajian sudah dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi memastikan kedua-dua sungai berkenaan mampu menampung aliran air hujan dalam jumlah yang banyak.

Katanya, beliau difahamkan, projek yang dijangka menelan belanja lebih RM50 juta itu hanya menunggu kelulusan peruntukan Kementerian Kewangan selepas Kabinet bersetuju untuk melaksanakannya.

“Projek ini, amat penting kepada penduduk kawasan ini, dan juga Pasir Gudang secara keseluruhan. Banjir besar yang berlaku pada 2006 dan 2007 jelas membawa banyak kerosakan kepada penduduk.

“Antara sebab utama, adalah kegagalan sungai untuk menampung aliran air hujan dan jika projek ini, tidak dilaksanakan dengan segera, penduduk sekitar akan terus terdedah dengan bencana alam ini,” katanya di sini, kelmarin.

Beliau berkata demikian selepas ditemui pada majlis taklimat projek berkenaan dan sesi dialog bersama penduduk kampung terbabit.

Mohamed Khaled berkata, selain membabitkan kerja mendalam dan membuang kelodak kedua-dua sungai berkenaan yang akan diselia JPS negeri, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) juga terbabit bersama berikutan kedudukan jambatan landasan kereta api yang merentangi sungai berkenaan.

Sumber: Berita Harian, 5 Januari 2009

Sisipan Akhbar.
Dari Utusan Malaysia .

Setinggan Skudai Kiri terbela

JOHOR BAHRU

5 Julai - Kerajaan tidak akan mengabaikan kepentingan penduduk setempat dalam melaksanakan Program Tanah Bersepakat di Skudai Kiri di sini, bagi mengatasi masalah setinggan di samping menjadikannya lebih moden sejajar dengan pembangunan Iskandar Malaysia.

Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, penduduk setinggan di kawasan berkenaan akan dipindahkan ke rumah murah Sungai Melana, manakala 88 keluarga yang mempunyai hak milik tanah seluas 12 hektar di kawasan yang akan dibangunkan, bakal menerima pampasan bersesuaian dengan harga pasaran.

Katanya, bagi penduduk setinggan, beliau yakin rundingan ini amat adil kerana mereka ditawarkan berpindah ke rumah murah bernilai kira-kira RM50,000 seunit dengan konsep sewa beli yang berpatutan.

"Bagi pemilik tanah di kawasan yang akan dibangunkan, penilai hartanah yang bertauliah akan menilai tanah di kawasan itu dan pampasan akan diberikan mengikut harga pasaran.

''Dalam mana-mana rundingan, kerajaan tak akan membelakangkan kepentingan rakyat," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Skudai Kiri terletak berhampiran dengan pusat rekreasi terkenal di Johor iaitu Teluk Danga.
Nur Jazlan bagaimanapun tidak dapat memberi jaminan sama ada tuntutan sesetengah pemilik tanah yang menuntut pampasan sebanyak RM150 sekaki persegi dapat ditunaikan.

Katanya, ini kerana nilai tanah di kawasan berdekatan Skudai Kiri hanya RM15 hingga RM20 sekaki persegi.
Nur Jazlan berkata, beliau juga ingin mendapatkan penjelasan lanjut daripada Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman mengenai desas-desus yang menyatakan projek rumah murah di Sungai Melana akan dibatalkan.

Beliau meminta agar isu penempatan penduduk setinggan diselesaikan terlebih dahulu sebelum sebarang projek pembangunan dijalankan di Skudai Kiri.

Dalam pada itu, Ketua Kampung Skudai Kiri, Mohd. Ibrahim, 65, berharap agar pembangunan di kawasan berkenaan tidak meminggirkan orang Melayu di situ.

"Walaupun banyak pelaburan akan masuk, namun harapan saya supaya hak orang Melayu terpelihara dan tidak terpinggir daripada pembangunan.
"Kami yakin kerajaan akan memikirkan nasib penduduk dan tidak hanya mengutamakan keuntungan," katanya.
Pada ucapan penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah Sultan Johor pada hari terakhir sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor semalam, Abdul Ghani berkata, penyusunan semula kawasan tersebut akan dilakukan oleh Jabatan Perancang Bandar serta Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) di samping kerjasama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).

Berdasarkan perangkaan katanya, Skudai Kiri menempatkan seramai 784 penduduk membabitkan 88 keluarga memiliki hak milik tanah, 686 setinggan, manakala 10 keluarga lagi berstatus lesen menduduki sementara (TOL).

Sisipan Bergambar -Permasalahan Penduduk Taman Saujana.
Keadaan Bilik Air "Unisex" -Surau Taman Saujana memerlukan perhatian segera.
Surau Taman Saujana yang memerlukan perhatian untuk memperbaiki kebocoran atap , menaiktaraf dewan solat untuk muslimah dan membina bilik air yang lebih sempurna.

Keadaan Culvert yang telah tertimbus tanpa penyelenggaraan - Penduduk Taman Saujana menerima bahana Banjir Kilat setiap kali hujan lebat.
Tong sampah yang diletakkan dibahu jalan bukan sahaja mencemar pandangan bahkan mengundang nyamuk dan lalat .

Keadaan Parit / Longkang yang runtuh bersebelahan Bilik Gerakan UMNO Cawangan Sri Saujana .Tindakan segera diperlukan sebelum keseluruhan Bangunan Hilang ditelan tanah runtuh.
Keadaan Jambatan yang senget -menyebabkan laluan air tersekat dan mengakibatkan banjir kilat berlaku.

Masalah -sistem perparitan yang tersumbat dan menyebabkan berlakunya banjir kilat.


Suara Hati kami .
"Penduduk Taman Saujana - Plentong".

Ahli Jawatankuasa Umno Cawangan Sri Saujana dan Persatuan Penduduk memohon jasabaik daripada pihak bertanggungjawab untuk menyelesaikan beberapa permasalahan penduduk di Taman Saujana seperti yang berikut.

Permasalahan Kami :
  1. Masalah geran tanah yang masih tidak diterima oleh sebahagian besar penduduk tanah Taman Saujana daripada pihak pemaju semenjak daripada awal pendudukan pada tahun 1967.
  2. Peruntukan untuk menaik taraf Balai Serbaguna Taman Saujana di jalan Saujana 3/1. Keadaan Balai Serbaguna yang kerap dilanda banjir menyukarkan penduduk untukmenjalankan aktiviti kemasyarakatan.

Prasarana / Infrastruktur ;

  1. Masalah perparitan yang tidak sempurna sehingga menyebabkan berlakunya banjir kilat. Secara purata sebanyak 11 kali banjir kilat yang akan berlaku dalam tempoh setahun.
  2. Pungutan sampah yang tidak menyeluruh terutama di jalan-jalan kecil . Mohon kepada Pihak berwajib untuk mengambil tindakan memperbesarkan jalan .

  3. Struktur jambatan sungai yang senget menyebabkan pengaliran air kurang lancar sehingga banjir . Hampir 65% daripada penduduk di sepanjang Jalan Saujana Utama menjadi mangsa banjir.
  4. Kekurangan bonggol jalan terutama di jalan-jalan utama yang membahayakan keselamatan pengguna dan penduduk apabila ada sebahagian kenderaan yang dipandu laju.
  5. Batang paip air ditempat yang tidak sesuai boleh mendatangkan masalah terutama sekiranya ada kenderaan yang terbabas.
  6. Papan tanda nama jalan yang sudah tumbang atau rosak menyusahkan orang mencari nama jalan terutama orang luar.

Peruntukan untuk menaik taraf Surau Taman Saujana di jalan Saujana 3/1 untuk keselesaan jemaah.

  1. Tempat solat wanita
  2. Bilik air
  3. Kebocoran atap
  4. Pagar rosak
  5. Cat yang pudar / lama.

Nota : Untuk makluman dan tindakan pihak tuan. Segala kerjasama yang diberikan oleh pihak tuan untuk menyelesaikan masalah kami amat kami harapkan dan hargai.

Terima kasih.